• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Empat Sekawan Orang Asli Teruja Pangkah Calon Pilihan

HULU TERENGGANU, 12 Ogos- Empat sekawan Orang Asli Semaq Beri Kampung Sungai Berua, teruja dapat menunaikan tanggungjawab kali pertama sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRN-15) di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Tapah di sini, hari ini.

Halim Akong, 20 bersama tiga lagi kawannya Mazlan Karim, 21, Hasibi Salleh, 21, dan  Yusof Akom, 22 merupakan antara kumpulan pengundi Orang Asli yang sanggup pulang dari hutan sekitar Tasik Kenyir sejak dua hari lepas.

Menurut Halim, beberapa orang dari kampungnya telah datang ke kawasan hutan untuk memanggil mereka pulang lebih awal dari tarikh sepatutnya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Kami meredah perjalanan selama lebih lima jam untuk balik ke kampung dengan rakan-rakan yang lain walaupun sepatutnya kami keluar dalam masa seminggu lagi.

"Atas kesedaran inilah, kami sanggup pulang beramai-ramai dan datang bersama-sama pada hari ini untuk memilih calon wakil rakyat kami," ujarnya yang mencari hasil hutan sebagai punca rezeki.

Sementara itu, seorang lagi pengundi muda Orang Asli, Mazlan berkata, dia teruja menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali kedua selepas PRU ke 15 baru-baru ini.

“Saya tidur awal malam tadi, pukul 7.30 pagi sudah bersiap bertolak ke pusat mengundi bersama ahli keluarga serta kawan sekampung.

"Harap calon yang dipilih nanti akan merubah ekonomi kami semua," ujarnya.