• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Empat Sungai Lepasi Paras Bahaya

KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Paras air di empat sungai di Terengganu masih melepasi paras bahaya.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat jam 3.45 petang ini merekodkan tiga sungai melepasi paras amaran manakala dua sungai paras waspada.

Di Hulu Terengganu iaitu di Sungai Telemong di Kuala Ping merekodkan bacaan paras bahaya iaitu 19.91 m.

Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun melepasi paras bahaya apabila mencatatkan bacaan 13.3 meter (m).

Sementara itu, Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman di Kemaman juga mencatatkan bacaan paras bahaya iaitu 4.8 m.

Satu lagi sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya ialah Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus iaitu 4.59 m.

Tiga sungai yang mencatatkan paras amaran ialah Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu iaitu 24.13 m; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu iaitu 13.19 m manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu iaitu 20.87 m.

Selain itu juga, dua sungai lagi berada paras waspada iaitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu dengan bacaan 7.79 m dan Sungai Terengganu di Muzium Negeri, Kuala Terengganu mencatatkan bacaan 1.97 m.

MetMalaysia dalam kenyataan berkata hujan lebat berterusan (peringkat buruk) diramalkan berlaku di Terengganu membabitkan kawasan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman; Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang; serta Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor.

Hujan berterusan (peringkat waspada) pula dijangka berlaku di Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu); Pahang (Jerantut dan Maran) serta Johor (Segamat, Batu Pahat dan Pontian).