lightning-solid
Berita :
Empat Tahun Bertahan Mekanik Akhirnya Terima Bantuan
Empat Tahun Bertahan Mekanik Akhirnya Terima Bantuan
Abdul Fattah Kamarudin
4 jam yang lepas
126

MARANG, 4 Januari - Bermula dengan serba kekurangan, seorang mekanik motosikal di Kampung Lubuk Perah kini menarik nafas lega apabila menerima sumbangan peralatan penting melalui Dana Usahawan Terengganu (DUTE).

Muhammad Faizi Rashid, 34, yang mengusahakan bengkel motosikal di hadapan rumahnya sejak empat tahun lalu, sebelum ini berdepan kekangan apabila tidak memiliki mesin compressor dan mesin hydraulic press, peralatan yang memudahkan kerja-kerja membaiki motosikal.

Menurutnya, kekurangan itu menyebabkan beliau terpaksa keluar masuk bengkel lain semata-mata untuk menyiapkan pesanan pelanggan.

“Saya mula buka bengkel ni dalam empat tahun lepas. Biasanya saya uruskan sekitar lima hingga enam buah motosikal sehari. 

“Tapi kalau kerosakan teruk, motor tu boleh ambil masa dua hingga tiga hari,” katanya kepada UPDI ketika menerima barangan sumbangan DUTE yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong semalam.

IMG_2102.jpeg 631.94 KB
Tambah Faizi, ketiadaan peralatan tersebut memberi kesan langsung kepada masa dan kelancaran kerja.

“Bila tak ada mesin hydraulic press dan compressor, saya terpaksa keluar untuk pinjam dengan bengkel lain. Masa banyak habis di luar berbanding di bengkel sendiri, dan keadaan ini menghambat proses membaiki motor pelanggan,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan adanya peralatan baharu itu, urusan kerja harian kini menjadi lebih lancar dan efisien.

IMG_2101.jpeg 524.2 KB
“Bila dapat barang-barang ni, kerja saya jadi lebih mudah. Terima kasih YB dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) kerana beri sumbangan ini,” ujarnya.

Sumbangan berkenaan dilihat mampu membantu usahawan kecil seperti Faizi meningkatkan keupayaan operasi serta menjana pendapatan yang lebih stabil, sekali gus mengukuhkan ekonomi setempat.



Tag :

Artikel Berkaitan