• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Enam Beradik Korban Lembu Sado Hadiah Kepada Penduduk Kampung

KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Enam beradik berkongsi rezeki dengan mengorbankan lembu sado jenis ‘charolais’ yang merupakan lembu kesayangan milik mereka untuk diagihkan kepada penduduk kampung di sini.

Nik Mohamad Salahudin Nik Nizam, 30, berkata lembu sado seberat 950 Kilogram itu dapat memberi manfaat kepada lebih 1,000 orang penduduk di Kampung Banggol Durian sempena Hari Raya Aidiladha hari ini.

Katanya, mereka sekeluarga memilih lembu sado untuk dikorbankan pada tahun ini kerana berpuas hati dengan kuantiti daging yang banyak untuk diagihkan kepada penduduk kampung.

“Kami enam beradik sangat sayangkan lembu sado ini yang diberi nama ‘Rudy’ namun tujuan korban itu untuk melatih umat Islam melepaskan sesuatu yang disayangi semata-mata kerana Allah SWT.

“Kami menjaga Rudy ini selama lebih kurang dua tahun iaitu bermula umurnya 10 bulan sehingga 3 tahun 4 bulan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Banggol Durian di sini, semalam.

Tambah Salahudin, lembu sado ini sangat senang diuruskan dengan sekali makan dan duduk di kandang berbanding dengan lembu kampung yang lain.

Tambahnya, Rudy itu dibeli daripada kawannya di Gong Badak tahun lalu pada harga RM10,000.

“Tujuan saya beli ketika itu kerana mahu menyertai Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 bertempat Jabi, Besut.

"Lembu sado itu dinobatkan sebagai Prince of Sado bagi kategori junior dan menerima hadiah RM500,” ujarnya.

 

 

 


Tag: