• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Enam Daerah Di Terengganu Masih Terjejas Banjir

KUALA TERENGGANU, 2 Mac- Enam daerah di Terengganu masih terjejas akibat banjir gelombang kelima apabila seramai 15,137 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2 petang tadi.

Kesemua mangsa daripada 4,011 keluarga itu ditempatkan di 68 PPS seluruh Terengganu, kecuali daerah Marang yang pulih daripada banjir petang semalam dengan diikuti penutupan semua PPS bagi daerah Besut.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Kemaman masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dimana 7,726 mangsa daripada 1,960 keluarga berada 19 PPS di daerah itu.

Di Hulu Terengganu, mangsa banjir yang direkodkan adalah seramai 3,999 orang membabitkan 1,016 keluarga dipindahkan ke 18 PPS.

Sebanyak 792 keluarga membabitkan seramai 2,696 mangsa berada di 23 PPS di Dungun yang menjadi daerah ketiga tertinggi mencatatkan mangsa teramai.

Seramai 438 mangsa daripada 125 keluarga ditempatkan di empat PPS bagi daerah Kuala Nerus, manakala tiga PPS masih diaktifkan bagi menempatkan 451 mangsa daripada 117 keluarga di Kuala Terengganu.

Setiu merekodkan jumlah mangsa terendah dengan satu keluarga membabitkan tujuh mangsa berada di sebuah PPS.