• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Enam Jenazah Mangsa Kepala Air Disemadikan Dalam Satu Liang Lahad

KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Enam jenazah mangsa tragedi kepala air Jeram Mawar, akan dibawa balik ke Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan bagi urusan pengebumian dan akan disemadikan dalam satu liang lahad pada malam ini di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3.

Kakak ipar mangsa, Rosilawati Kassim, 49, berkata enam jenazah yang ditemui pada Ahad dan Isnin itu akan dibawa balik dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Setakat ini kita telah dapat pelepasan dari polis untuk membawa pulang enam jenazah ini yang telah selesai melalui proses pengecaman dan 'post morterm'.

"Jenazah dimandikan dan dikapankan di HSNZ kira-kira jam 3 petang dan akan dibawa terus ke Masjid Felda Lepar Hilir 3 untuk disembahyangkan.

"Semua persiapan untuk urusan pengebumian jenazah telah siap diatur dan kita hanya tunggu masa sahaja jenazah tiba untuk proses disemadikan,"ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik HSNZ, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Rosilawati mengharapkan agar proses mencari empat lagi anak saudaranya serta tunang anak saudaranya berjalan lancar.

Rosilawati merupakan kakak ipar kepada Allahyarham Azizah Eiyi,40 yang merupakan mangsa pertama yang ditemui lemas dalam tragedi kepada air di Jeram Air Putih, Kemaman.

Turut ditemukan adalah suami kepada Azizah, Allahyarham Karim Abdullah, 39.

LIma lagi mangsa yang turut ditemukan ialah anak pasangan iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 ; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 ; Putri Aryana Umaira Karim, 4 dan Putri Nurerina Natasya Karim, 10.

Perkembangan terkini, mayat ketujuh mangsa tragedi kepala air iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, disahkan ditemui orang awam kira-kira jam 7.45 pagi tadi.

Setakat ini, tiga lagi mayat masih belum ditemukan adalah Puteri Alleya Maisarah Karim, 16 ; Putri Nor Fatin Karim, 14 dan Muhammad Fikri Saliman, 24.

Terdahulu, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir 3, datang berkelah di Jeram Mawar pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

 

 


Tag: