• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Enam Nelayan Hilang, APMM Aktifkan Pencarian

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah bot yang membawa enam nelayan termasuk tekong yang dipercayai karam pada pukul 10 malam Isnin lepas.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 itu berdaftar dan keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan.

Katanya, sebaik menerima laporan bot nelayan karam, pihaknya segera menggerakkan bot Maritim PERKASA 1234 ke lokasi tersebut iaitu kira-kira 10 batu nautika dari  Pulau Redang.

"Sehingga kini, hanya seorang mangsa sahaja yang selamat iaitu Muhammad Kamaruddin Yudi, 31.

"Untuk operasi SAR hari kedua, sektor pencarian telah diperluaskan hingga 242 batu nautika dan beberapa aset tambahan telah diatur gerak awal pagi tadi seperti Aset Kapal Maritim (KM) REDANG, aset udara Bombardier CL415 dan bot PERKASA 1234," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) di Kuantan, Pahang juga telah mengaktifkan SAR itu bermula semalam bagi mengesan bot tersebut.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar dapat menhubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357.