• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Enam PPS Di Hulu Terengganu Dinaiki Air

HULU TERENGGANU, 19 Disember- Enam pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini turut dilanda banjir sejak semalam sehingga menyebabkan penduduk yang berlindung di tempat yang sepatutnya 'selamat' itu cemas dan kebimbangan.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, Hanafi Mohd berkata ia melibatkan PPS Balairaya Kampung Kepah, PPS Paya Besar, PPS Bukit Tok Bat, PPS Pengkalan Ajal, PPS Kampung Padang Setar dan PPS Kampung Lubuk Periuk.

"Kebanyakan mangsa dipindahkan ke tempat yang lebih selamat dan ada sebahagiannya berpindah ke tingkat atas PPS.

"Pihak bomba sentiasa memantau dari masa ke semasa keselamatan kesemua mangsa bagi memastikan tidak kejadian buruk berlaku," katanya kepada pemberita ketika di temui di Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, di sini hari ini.

Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila seramai 19,601 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat jam 4 petang tadi, mangsa daripada 5,699 keluarga kini ditempatkan di 243 PPS di lapan daerah.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 5,726 orang daripada 1,799 keluarga dipindahkan ke 50 PPS