• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Enam Tindakan Terengganu Untuk Keluar Fasa Satu

KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Bagi membolehkan Terengganu mencapai kadar vaksinasi lengkap dua dos yang dikehendaki Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan keluar dari fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan segera, kerajaan negeri terus merancakkan program imunisasi di pelbagai peringkat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, peralihan fasa itu penting bagi membolehkan lebih banyak perniagaan dibuka sekali gus menghidup dan merancakkan kembali ekonomi rakyat.

Katanya, berdasarkan situasi semasa, kadar vaksinasi yang telah lengkap dos kedua di Terengganu masih belum mencapai 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Terengganu.

"Bagi memastikan kita mencapai 10 peratus itu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di Terengganu Trade Centre (TTC) telah dibuka sejak 26 Jun dengan kadar suntikan 200 suntikan sehari, dijangka 1,000 orang akan mendapat suntikan vaksinasi dalam masa seminggu.

"Terengganu juga telah menjalankan integrasi bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi mewujudkan PPV UniSZA, dan ia telah beroperasi 13 Jun dengan 750 suntikan sehari, dalam masa seminggu seramai 3,750 orang dijangka menerima suntikan di PPV ini.

"16 buah PPV klinik swasta pula telah diluluskan dengan kemampuan vaksinasi sebanyak 450 sehari, dijangka 1,440 orang dapat disuntik dalam masa seminggu," ujarnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman semalam.

Mengulas lanjut, Dr Alias memaklumkan, dua buah hospital swasta turut dilantik sebagai PPV.

"Hospital Salam telah beroperasi 27 Jun lalu dan Pusat Perubatan Intan akan bermula beroperasi pada 4 Julai ini, dijangka 100 suntikan sehari dapat diberikan, dalam seminggu 500 orang dijangka akan menerima suntikan di PPV ini.

"10 buah PPV klinik kesihatan luar bandar akan mula beroperasi 1 Julai ini dengan jangkaan 500 suntikan sehari, dalam seminggu 2,500 orang dijangka menerima suntikan," jelasnya.

Selanjutnya, tiga buah PPV Industri diwujudkan antaranya di Eastern Steel, Kemaman yang akan mula beroperasi pada 2 Julai ini, 1,380 orang pekerja akan menerima suntikan di sana.

Tambah Dr. Alias, antara PPV Industri lain yang turut dibuka adalah di Kerteh Integrated Petrochemical Complex, Kerteh yang akan mula beroperasi pada 12 Julai ini, 4,800 orang pekerja akan menerima suntikan dan Duyong Offshore melibatkan 5,500 orang pekerja yang akan menerima suntikan.

"Kita menjangkakan dalam tempoh 7 hari, kita dapat mencapai kadar vaksinasi 10 peratus yang telah lengkap suntikan dos kedua dengan suntikan sebanyak 88,126 orang sekaligus memudahkan rakyat menerima vaksin," ujarnya.

Untuk rekod, MKN menetapkan tiga kriteria bagi membolehkan peralihan fasa berlaku, Terengganu telah melepasi dua daripadanya iaitu bilangan kes harian bawah 100 dan penggunaan katil di ICU yang rendah.

 


Tag: