• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

EPIC 'Back To School' Suntik Semangat Murid Ke Sekolah

KUALA TERENGGANU, 12 Februari- Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC atau Kumpulan EPIC), sebuah anak syarikat kerajaan negeri menganjurkan program 'EPIC Back to School 2023' bagi mengagihkan bantuan barangan persekolahan kepada murid-murid sempena sesi baru persekolahan yang bakal tiba.

Berlangsung di Sekolah Kebangsaan Getang (SK Getang), Kuala Berang, program yang merupakan salah satu cabang tanggungjawab sosial korporat (“CSR”) di bawah inisiatif 'EPIC Celik' itu memberikan fokus kepada usaha menyokong pembangunan mampan dan menyeluruh sektor pendidikan di Negeri Terengganu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, ir Muhtar Suhaili berkata, Kumpulan EPIC menyasarkan murid-murid daripada keluarga kurang berkemampuan dengan menyediakan keperluan penting untuk menghadapi sesi persekolahan baharu 2023 yang akan bermula bulan hadapan melalui program yang dianjurkan.

“Tahun ini kami kembali meneruskan program dengan harapan dapat meringankan beban ditanggung oleh ibu bapa penjaga yang gigih membanting tulang demi memenuhi keperluan keluarga dan anak-anak pada zaman serba mencabar ini.

"Pihak syarikat telah memilih dua buah sekolah iaitu SK Getang dan juga sebuah lagi sekolah di Kemaman, melibatkan 80 orang pelajar terpilih untuk menerima sumbangan kit persediaan sesi persekolahan baharu berbentuk baucar pembelian uniform sekolah, baucar pembelian kasut, set alat tulis, botol minuman dan juga beg sekolah.

“Pihak EPIC mengharapkan agar bantuan yang dihulurkan buat para pelajar pada hari ini akan membakar semangat dalam menghadapai musim persekolahan yang baharu. Semoga semua pelajar sentiasa beroleh kecemerlangan serta kejayaan untuk masa hadapan diri dan keluarga,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan syarikat.

Dalam program berkenaan, EPIC juga menyampaikan sumbangan kewangan kepada SK Getang untuk kegunaan pihak sekolah yang sebelum ini terjejas teruk ekoran bencana banjir luar jangka, baru-baru ini.

Selain itu, beberapa aktiviti pengisian interaktif dan agihan makanan dilaksanakan barisan warga kerja EPIC yang turut dihadiri Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah dan Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Keselamatan Kumpulan, Rusdi Ngah.

 


Tag: