• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

EPIC Catat Peningkatan Perolehan Kepada RM339.6 Juta

KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) mencatatkan perolehan sebanyak RM339.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, peningkatan 16 peratus berbanding RM292.2 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali berkata, perolehan paling tinggi dijana oleh operasi pelabuhan iaitu sebanyak RM283.3 juta (70 peratus).

“Diikuti RM90.3 juta (27 peratus) daripada perkhidmatan kejuruteraan dan RM11 juta atau tiga peratus daripada tenaga boleh diperbaharui atau tenaga solar,” ujarnya dalam sesi soal jawab sempena program 'Media Appreciation Hi-Tea 2022' yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Primula Beach Hotel, semalam.

Menurut Ridzuan, bagi jumlah perolehan dijana segmen keseluruhan operasi pelabuhan, RM179 juta atau 53 peratus adalah daripada perkhidmatan pangkalan bekalan dan RM59.3 juta atau 17 peratus pula daripada operasi pelabuhan.

Kata Ridzuan, keuntungan sebelum cukai kumpulan pada tahun lalu turut meningkat sebanyak 16 peratus kepada RM26.2 juta daripada RM22.6 juta yang dicatatkan pada 2021.

Menurutnya, pertumbuhan perolehan yang direkodkan tahun lalu adalah sumbangan pencapaian oleh EPIC OG Sdn Bhd, anak syarikat EPIC yang terbabit dalam menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan khususnya operasi sektor minyak dan gas.

"Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBK) turut mencatatkan perolehan yang lebih tinggi dengan peningkatan dalam aktiviti minyak dan gas,” ujarnya.

Ridzuan berkata, bagi tahun 2023, kumpulan EPIC menganggarkan perolehan sebanyak RM379.1 juta, 12 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

"Dengan rekod perolehan yang lebih tinggi, keuntungan selepas cukai dianggarkan meningkat sebanyak 43 peratus daripada RM6.1 juta tahun lalu kepada RM8.7 juta tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Ridzuan berkata, EPIC membelanjakan hampir RM2.5 juta tahun lalu untuk pelbagai inisiatif program, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), sumbangan serta tajaan pembangunan masyarakat dan negeri Terengganu.

“Daripada jumlah itu, EPIC berjaya membantu 25 organisasi pendidikan, 92 persatuan serta organisasi kerajaan dan bukan kerajaan yang mana impaknya dapat dirasai ribuan individu bukan saja di dalam, malah di luar Negeri Terengganu.

"Bagi tahun ini, EPIC berhasrat untuk terus memberikan sokongan padu kepada masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan serta memacu pembangunan negeri," katanya.