Jalur Gemilang
Berita :
EPIC, TIMOR GAP Meterai MoU Kerjasama Infrastruktur O&G di Timur-Leste
EPIC, TIMOR GAP Meterai MoU Kerjasama Infrastruktur O&G di Timur-Leste
Ahmad Zaeem Zainudin
3 jam yang lepas
132

KUALA TERENGGANU, 26 September - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan TIMOR GÁS & PETRÓLEO, E.P. (TIMOR GAP) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan infrastruktur minyak dan gas di Timor-Leste.

Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) di bawah Kumpulan Terengganu Inc itu memeterai MoU bersama syarikat minyak dan gas nasional Republik Demokratik Timor-Leste bagi menyediakan rangka kerja kerjasama dalam pembangunan Pangkalan Bekalan Suai (SSB).

SSB merupakan pangkalan bekalan logistik dan marin yang dirancang bagi menyokong operasi minyak dan gas di darat serta luar pesisir di Laut Timor.

Menurut EPIC dalam satu kenyataan, EPIC akan menyumbang kepakaran teknikal dan operasi menerusi MoU berkenaan.

Tambah kenyataan itu, kedua-dua pihak juga berpeluang meneroka kerjasama dalam bidang berkaitan termasuk perkongsian pengetahuan dan kepakaran serta mengenal pasti peluang pertumbuhan pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, cadangan kerjasama strategik itu mencerminkan keupayaan EPIC Berhad sebagai penyedia perkhidmatan minyak dan gas dari Malaysia untuk mengembangkan kepakaran serta pengalamannya ke pasaran antarabangsa.

"Cadangan kerjasama strategik ini menandakan satu lagi perkembangan penting bagi EPIC Berhad dalam memperluas penglibatan syarikat di peringkat antarabangsa.

"Ia selaras dengan strategi pertumbuhan dan membuka peluang untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta keupayaan industri Malaysia dan Timor-Leste," katanya.

Menurut beliau, EPIC berhasrat untuk memanfaatkan kepakaran sebagai penyedia perkhidmatan minyak dan gas berintegrasi merentasi rantaian nilai huluan dan hiliran bagi menyokong usaha Kerajaan Timor-Leste membangunkan infrastruktur minyak dan gas negara.

Pemeteraian MoU di ibu negara Timor-Leste, Dili itu disaksikan oleh Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Timor-Leste, TYT Francisco da Costa Monteiro

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Dato' Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun serta Pengarah EPIC, Dato' Nara Setia.

SSB dirancang berperanan sebagai pangkalan logistik dan pusat perkhidmatan bagi industri petroleum Timor-Leste seperti Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) yang dikendalikan oleh anak syarikat EPIC, Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (KSB).

"Kemudahan ini dijangka menyediakan pelbagai infrastruktur dan perkhidmatan, termasuk kemudahan fabrikasi, kawasan lapang, pangkalan pesisir berskala kecil, gudang serta tenaga kerja bagi menyokong aktiviti industri," jelas kenyataan itu.

Susulan pemeteraian MoU tersebut, cadangan kerjasama antara EPIC dan TIMOR GAP turut membuka potensi pelaburan strategik, sekali gus mewujudkan platform bagi kerjasama perniagaan yang akan memberi manfaat bersama.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan