• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Ern Udah Coit Vaksin'- Orang Asli Sungai Berua

HULU TERENGGANU, 25 September - 'Ern udah coit vaksin'(Saya sudah ambil vaksin) ujar Putra Kamarudin, 20, selepas menerima vaksin dos tunggal CanSino  di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua di sini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini.

Menurutnya, pada permulaan dia dan ahli keluarganya tidak mahu menerima suntikan vaksin namun setelah diberi penerangan kebaikan dan kepentingan vaksin mereka mengubah fikiran dan bersetuju mendapatkan suntikan.

"Saya rasa bertuah apabila hanya dengan sekali suntikan dapat menghalang jangkitan virus Covid-19 yang begitu mudah merebak.

"Selepas menerima vaksin saya dinasihatkan supaya berehat sehari di rumah sebelum boleh mencari rezeki di hutan," katanya kepada pemberita.

Bagi bapa kepada dua anak, Sam Kulim, 31, berkata sebelum ini dia tidak berminat untuk menerima vaksin namun mengubah fikiran demi keselamatan diri dan keluarga.

"Banyak cerita buruk pasal vaksin menyebabkan kami rasa takut tetapi apabila tengok keadaan wabak makin teruk, saya akur demi kebaikan bersama,"ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Alias Pelong berkata,  beliau lebih yakin dapat menghindari jangkitan Covid-19 selepas menerima suntikan itu.

“Saya sentiasa menjelaskan kepada anak buah di kampung supaya jangan takut terima vaksin dan jangan percaya mitos yang tular di aplikasi Whatsapp bahawa suntikan ini boleh membawa maut.

"Bagi pihak orang asli, saya mengharapkan suntikan vaksin itu memudahkan kami keluar ke bandar bagi menyelesaikan urusan harian yang sebelum ini tertangguh kerana orang ramai takut untuk berurusan,"ujar beliau.