• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Exco Bincang Benar Kuliah Agama Di Masjid, Surau

KUALA TERENGGANU, 12 November - Kebenaran untuk mengadakan pengajian agama di masjid dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut dibincangkan dalam mesyuarat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penangguhan aktiviti atau kuliah agama itu sememangnya memberi kesan kepada banyak pihak.

"Saya pernah sebut kepada pihak pejabat agama supaya dicadang dan dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan agar aktiviti pengajian diteruskan di masjid dan surau. 

"Saya memang rasa sedih dengan keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) tetapi akur dan mentaati keputusan pihak penguasa agama.

"Hari ini, saya telah menyuarakan cadangan saya dalam mesyuarat exco supaya dipanjangkan oleh beberapa ahli MMKN dalam mesyuarat MAIDAM," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim dan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Ustaz Mohd Rozi Bidin berhubung isu terbabit.

Jelas Hishamuddin, kerajaan negeri melalui Mohd Nor sentiasa memainkan peranan bagi merungkai segala kemelut.

"Dalam pertemuan itu, pihak MAIDAM memaklumkan keputusan (penangguhan kuliah agama) tidak akan berlanjutan sehingga tamat tempoh PKPB, sebaliknya ia akan dinilai berdasarkan kes COVID-19 di Terengganu.

"Keputusan untuk perkara itu secara pentadbirannya akan dikeluarkan secara telus oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui pesuruhjayanya," tambah beliau.


Tag: