• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Exco Terengganu Dinobat Hero Pelancongan Malaysia

KUALA TERENGGANU, 14 November - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dinobatkan sebagai Hero Pelancongan Malaysia sempena Sidang Kemuncak Emas Pelancongan Malaysia 2020 yang berlangsung semalam.

Ariffin dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama pegawai dan kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) serta Jabatan dan Agensi kerajaan yang terlibat.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur Alhamdulillah dan jutaan terima kasih kepada Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) atas ‘Anugerah Malaysia Tourism Heroes’ yang diberikan kepada saya.

“Anugerah ini adalah hasil kerjasama daripada semua pihak yang turut terlibat dan juga pemain-pemain industri pelancongan yang banyak membantu dan memberi sokongan, ini adalah hadiah untuk Negeri Terengganu hasil daripada kerjasama semua pihak.

“Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan dan ditambah baik dalam usaha meningkatkan lagi produktiviti dan memacu pembangunan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberi komitmen untuk terus mengangkat industri pelancongan Terengganu ke tahap tertinggi

“Akhir sekali, saya mendoakan agar Terengganu terus maju dalam usaha merealisasikan misi untuk mencapai status ‘Negeri Terengganu Negeri Pelancongan’,” tambah beliau.

Sidang Kemuncak Emas Pelancongan Malaysia 2020 berlangsung dari 11 hingga 13 November 2020 di platform digital maya http://www.MTCSummit.com.


Tag: