• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Exco Terengganu Positif Covid-19

KUALA TERENGGANU, 13 September - Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dilaporkan positif Covid-19, dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, (HSNZ), di sini.

Pengerusi Jawatankuasa  Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, Mohd Nurkhuzaini  yang juga ADUN Kota Putera disahkan positif selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

"Beliau disahkan positif dan dimasukkan ke hospital sebelum kita mewajibkan semua ADUN membuat ujian saringan Covid-19 pada 9 September lalu.

"Saya tidak dapat nak beri penjelasan secara terperinci tetapi difahamkan beliau kini stabil dan hanya menunggu masa untuk keluar daripada hospital," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini, hari ini.

Menurut Dr Alias, melalui ujian saringan Covid-19 sebagai persiapan menghadiri Persidangan DUN pada 9 September lalu, semua ADUN selain Mohd Nurkhuzaini adalah negatif.

"Untuk ujian saringan COVID-19 tidak ada ADUN yang disahkan positif COVID-19," katanya.