• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Exco Wanita Kelantan Ucap Tahniah Kepada Terengganu Lantik ADUN

Mumtaz Md Nawi.
KOTA BHARU, 1 Disember - Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Mumtaz Md Nawi mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kerajaan Terengganu di atas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Senator Dewan Negara kelmarin, yang kedua-duanya diwakili wanita.

"Tahniah dan syabas kepada Kerajaan Terengganu kerana memberi ruang kepada generasi wanita pelbagai peringkat usia ke hadapan bagi menyuarakan isu-isu wanita.

"Pelantikan YB Zuraida Md Noor sebagai ADUN adalah sangat unik dan bersejarah kerana ia dibuat tanpa melalui pilihan raya.

"Apapun mediumnya sama ada menerusi proses pilihanraya atau pemilihan di Dewan Undangan Negeri (DUN), ianya akan menjadi lambang suara muslimat dan wanita di persada legislatif dan eksekutif," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, mengulas tentang pelantikan tersebut.

Menurut Mumtaz, ianya jelas membuktikan Kerajaan PAS Terengganu memartabatkan wanita dengan memastikan kebersamaan muslimat mewakili Islam dan rakyat sama ada dipilih atau dilantik.

"Semoga dengan pelantikan ini, kita dapat sama-sama membentuk 'Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur' (Negara Sejahtera Rahmat Untuk Semua)," tambahnya.

Kerajaan PAS Terengganu mencipta sejarah baru-baru ini (29 November) apabila melantik Zuraida sebagai ADUN wanita pertama di Terengganu.

Zuraida, 38, yang juga Pengarah Ameerah negeri mengangkat sumpah memegang jawatan itu selama sepenggal bagi tempoh lima tahun, di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali.

Pemilihan itu dibuat selaras dengan pelantikan ADUN yang termaktub dalam Perkara 27, Fasal 2, Undang-Undang Tubuh negeri Terengganu yang diluluskan ketika era pemerintahan PAS pada 1999 hingga 2004.

Untuk rekod, Terengganu merupakan negeri pertama di Semenanjung Malaysia melantik ADUN wanita yang membolehkan wanita yang tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum mewakili DUN untuk bercakap, berbahas dan mengemukakan soalan kepada DUN Terengganu, selain mempunyai hak yang sama seperti ADUN lain tetapi tidak boleh mengundi.



Tag: