• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

ExxonMobil Sumbang Lebih RM560,000 Jayakan Program Modal Insan Di Terengganu Sepanjang 2016

Ahmad Razif (tiga dari kanan) bergambar dengan penerima sumbangan ExxonMobil di majlis yang berlangsung di TH Hotel, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Haris Fadzillah.
ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (ExxonMobil) menyumbang melebihi RM560,000 untuk melaksanakan pelbagai program membangunkan modal insan di seluruh Terengganu sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM160,000 diperuntukkan bagi inisiatif kesihatan dan pendidikan negeri, sementara sejumlah RM60,000 kepada Yayasan Diraja Sultan Mizan untuk program keusahawanan ibu tunggal dan wanita yang berpendapatan rendah bagi pengeluaran dan pemasaran madu lebah kelulut.

Menteri Besar, Dato’ Sri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sumbangan itu amatlah tepat pada masanya dalam usaha berterusan untuk menyokong pembangunan mampan di seluruh negeri khususnya dalam meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi negeri.


Katanya, ExxonMobil yang memulakan operasinya di Terengganu pada akhir 1960 sudah banyak menjalankan tanggungjawab sosialnya khasnya dalam bidang pendidikan dan kesihatan di Terengganu.

“Kita sudah lihat banyak sumbangan ExxonMobil selama ini. Cuma untuk 2017 saya percaya ExxonMobil akan terus menyumbang kepada komuniti tempat mereka beroperasi, iaitu di Terengganu ini, maka saya nak cadangkan dua perkara. Pertama kalau boleh Exxonmobil tambah peruntukan di bawahTanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka untuk Terengganu.

“Saya percaya SKY  (Pengerusi ExxonMobil Malaysia, See Kok Yew) sebagai anak tempatan dan walaupun bukan anak Terengganu, boleh pertimbangkan dalam perancangan 2017, tambahan peruntukan CSR,”katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Cek dan Komputer riba sumbangan ExxonMobil di TH Hotel, Gong Badak, Kuala Nerus , hari ini. 

Di majlis itu, Exxonmobil menyumbang pembelian peralatan fisioterapi bagi Pusat Rehabilitasi 1Malaysia Seberang Takir, pembelian mesin ultrasound mudah alih untuk Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, membiayai program pembangunan dan latihan guru Bahasa Inggeris (BI) di 501 sekolah seluruh negeri anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, JPNT serta sumbangan komputer riba untuk Sudut Siber Kanak-kanak di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Ahmad Razif juga mencadangkan ExxonMobil membantu dalam aspek pengurusan bakat dengan anak Terengganu melalui Program Talent Management Terengganu (TMT) bagi melahirkan pemimpin di masa hadapan yang hebat, memandangkan syarikat korporat itu memiliki budaya organisasi yang efisien dan tinggi aspek latihan dalam menguruskan bakat.




Sementara itu, antara sumbangan secara berterusan ExxonMobil sejak beberapa dekad lalu di bidang pendidikan seperti  Program Bagi Meningkatkan Minat Dan Penyertaan Pelajar Dalam Bidang Sains, Teknologi Dan Matematik (STEM) dengan kerjasama JPNT, Pusat Sains dan Kreativiti Terenggannu (PSKT) dan PPAT melalui program-program seperti Tunas Saintis, Terengganu Mathematics Innovation Challenge, Spark My Creativity Challenge, Anugerah STEM ExxonMobil dan Sudut Siber Kanak-kanak.

Selain itu, program bagi Meningkatkan Kemahiran BI juga melalui projek English Theme Park (ETP), Terengganu English Resource and Information Centre (TERIC), English Camp with ETA, Sudut Pak Belang  atau dikenali sebagai Pelantar Bestari di perpustakaan daerah dan negeri. 

Program lain, Anugerah Guru Unggul sebagai suntikan semangat dan motivasi kepada mereka dalam meningkatkan lagi prestasi pendidikan negeri dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar.

Pada masa yang sama, ExxonMobil juga turut aktif menyumbang dalam Program 
Pembangunan Kesihatan masyarakat menerusi Program Peningkatan Keupayaan Dan Kapasiti Hospital Hospital Daerah khususnya HSNZ, Hospital Kemaman dan Hospital Dungun dengan menaja pembelian mesin perubatan, selain menubuhkan satu Unit Sekolah Dalam Hospital melibatkan HSNZ dan Hospital Kemaman.


Syarikat korporat itu turut melaksanakan Program Siapsiaga Banjir sebelum musim tengkujuh serta program bantuan banjir di daerah - daerah yang mengalami ancaman banjir tahunan.

Tag: