• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

FAM Puas Hati Persiapan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menzahirkan rasa berpuas hati terhadap persiapan yang dilaksanakan oleh Terengganu sebagai tuan rumah bagi perlawanan antarabangsa Malaysia di sini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata FAM turut memaklumkan bahawa Pasukan Bola Sepak Malaysia yang diketuai Jurulatih Kim Pan Gon memuji keadaan padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Katanya, pada hari ini, beliau telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertempat di Wisma Darul Iman di sini.

"Delegasi tersebut diketuai oleh Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin serta rombongannya pada pagi ini.

"Kehadiran mereka bersempena perlawanan antarabangsa Malaysia pada malam esok dan 20 Jun nanti.

"Ketika ini skuad Malaysia sedang berkampung dan menjalani latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sebelum turun beraksi pada malam esok," katanya dalam kenyataan di laman Facebook Rasmi Miliknya pada hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, semoga sesi latihan skuad Harimau Malaya berjalan lancar dengan kemudahan yang disediakan sekali gus meraih kemenangan.

"Ayuh semua penyokong dan peminat Harimau Malaya untuk turun dan beri sokongan kepada mereka pada malam esok," ujarnya.

 

 

 

 

 


Tag: