• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

FAMA Jamin Bekalan Sayur, Buah di Kawasan Banjir Tidak Terputus

HULU TERENGGANU, 8 Oktober - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)Terengganu memberi jaminan bekalan komoditi seperti sayur dan buah di kawasan dilanda banjir tidak akan terputus, selain terus dijual pada harga berpatutan.

Pengarahnya, Che Ghani Che Wan berkata sehingga kini FAMA mempunyai pembekalan serta kelengkapan yang mencukupi untuk menyalurkan bekalan dari Cameron Highlands ke Terengganu.

"Kita ada dua belas pasar tani di seluruh negeri  dan lebih kurang seratus empat puluh lagi outlet peruncitan yang diusahakan oleh usahawan tempatan yang akan beroperasi seperti biasa walaupun musim tengkujuh.

"Pihak kami akan bekerja sepenuh masa sepanjang musim banjir bagi memastikan rakyat khususnya di Terengganu tidak terbeban akibat terjejas bekalan makanan menjelang musim banjir,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Walkabout Ke Pasar Tani Kuala Ping Sempena Sambutan Ulang Tahun ke 56 FAMA di sini hari ini.

Tambahnya, walaupun pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan berkurangan akibat banjir, beliau memberi jaminan bahawa harga yang dikenakan adalah berpatutan.