• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Fasa Endemik Rakyat Boleh Hidup Seperti Biasa Mengikut SOP

PUTRAJAYA, 2 September - Malaysia dijangka akan memasuki fasa endemik Covid-19 bermula hujung Oktober nanti selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berikutan itu rakyat digesa agar menerima konsep hidup baharu bersama virus berkenaan

"Kita harus menerima hakikat bahawa sekalipun kita berjaya mengawal pandemik ini, kita juga perlu bersedia untuk menerima kenyataan bahawa akan tiba masanya Covid-19 menjadi endemik.

"Oleh itu kita mesti mengambil langkah-langkah untuk hidup bersama virus ini, dengan adanya vaksinasi usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku dengan usaha mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berterusan, maka kita boleh memasuki fasa baharu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media pertamanya, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Mengulas lanjut katanya pelbagai kelonggaran akan diumumkan apabila SOP baharu diperkenalkan nanti.

"Biarpun langkah baharu akan diumumkan tetapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiada perancangan melonggarkan pemakaian pelitup muka.

"Ini kerana berdasarkan pengalaman negara lain, apabila dilonggarkan mereka terpaksa menguatkuasakan (pelitup muka) semula susulan kemunculan varian baharu,"katanya.

keputusan bagi melakukan perlalihan tersebut ekoran pendekatan yang diambil banyak negara  setelah berjaya membendung penularan virus tersebut kepada fasa endemik.

Dalam pada itu pihak kementeriannya juga akan mempertingkatkan ketelusan dengan mempamerkan maklumat data penuh kepada orang ramai untuk mengakses maklumat dan perkembangan terkini berkait wabak berkenaan bermula minggu hadapan.

"Data yang akan diberikan adalah melebihi data yang sedia ada seperti yang dipamerkan selama ini, bagi memastikan tiada tuduhan bahawa kita menyembunyikan fakta dan melindungi kerahsiaan melibatkan Covid-19," katanya.


Tag: