• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Banjir Gelombang Keempat Di Terengganu Mula Surut

KEMAMAN, 23 Disember – Perkembangan terkini fasa keempat banjir di Terengganu menunjukkan trend penurunan dari segi mangsa terlibat dan penutupan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keseluruhan PPS di Terengganu menurun kepada 9 buah melibatkan 257 keluarga dan 999 orang mangsa masih terjejas.

“Jangkaan masa terdekat akan ditutup beberapa lagi pusat, namun kawasan pedalaman di Dungun kemungkinan ada kes lagi kerana situasi belum surut lagi.

“Antara cabaran yang telah diatasi dalam pengurusan fasa ini dalam aspek pengedaran bahan-bahan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), perkara ini telah ditangani secepat mungkin tidak sampai 12 jam," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas tentang jangkaan fasa seterusnya, beliau berkata, tiada jangkaan buat masa sekarang sebagaimana laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Jika ada hujan berterusan dan tidak terlalu lebat di satu atau dua tempat pada hari Krismas ini. Setakat ini air pasang pun telah tamat pada 21 Disember lalu dan jangkaan akan datang pada awal januari nanti,” katanya petang semalam.

Beliau turut menasihati mangsa yang sudah dibenarkan ke rumah agar sentiasa berhati-hati terhadap risiko binatang berbisa dan objek asing di rumah.

“Perkara ini perlu dilihat terlebih dahulu sebelum dibersihkan secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pelaksanaan Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Zakaria Shaaban berkata, pengurusan banjir di Terengganu adalah lancar dan teratur.

“Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri turut berpuas hati dengan keadaan pengurusan mangsa di PPS ini,” ujarnya.