• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Fasa Pertama Projek Perumahan PMINT Di Bukit Bayas Bermula Mac Ini


KUALA TERENGGANU, 25 Februari- Kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT)akan membina 55 buah rumah bagi fasa pertama di bawah projek kediaman komersial bermula Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata,  projek perumahan melibatkan pembinaan rumah teres dua tingkat itu akan dibangunkan di Kampung Bukit Bayas yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Menurut beliau, projek yang dijalankan dalam dua fasa diatas tanah yang berkeluasan 11 ekar di kawasan terbabit secara keseluruhannya kelak bakal menyediakan penempatan yang memuatkan 130 unit rumah komersial.

Dr. Alias berkata, unit kediaman tersebut akan dijual pada harga antara RM350,000 hingga RM370,000 seunit dengan keluasan 1,500 kaki persegi kepada orang ramai.

“Dengan harga tanah yang kita beli lebih kurang RM800,000 untuk satu ekar, jadi kos tanah itu pun sudah mahal namun rumah yang kita jual masih pada harga yang berpatutan.

 Semoga dengan siapnya projek perumahan ini memberi satu lagi peluang khususnya kepada penduduk tempatan untuk memiliki rumah sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek perumahan PMINT di Kampung Bukit Bayas, di sini, hari ini.

Turut hadir,  Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Shah Muhamed dan Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Samiun Salleh.


Sementara itu Dr. Alias berkata, pihaknya juga mempunyai cadangan untuk membina rumah mampu milik di tanah kosong sekitar projek kediaman komersial PMINT itu.

“Permohonan rumah mampu milik di Kuala Terengganu sangat tinggi dan ini adalah antara tapak yang boleh dicadangkan untuk pembinaan rumah mampu milik demi untuk kesejahteraan rakyat bersama,” ujarnya.

Tag: