KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Amalan federalisme yang matang perlu diperkukuhkan bagi memastikan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu antara fokus perbincangan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri Ke-149 yang menghimpunkan kepimpinan negeri-negeri seluruh negara.
Menurut beliau, dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem Persekutuan, hubungan yang baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting bagi memastikan setiap isu dapat ditangani secara bersama serta menghasilkan penyelesaian terbaik kepada rakyat.
“Hubungan yang baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bukan sahaja memperkukuh tadbir urus negara, malah memastikan dasar dan keputusan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi manfaat rakyat," jelasnya.

Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa perbezaan latar belakang, keutamaan dan cabaran yang dihadapi oleh setiap negeri perlu diraikan dalam semangat kerjasama serta saling menghormati demi kepentingan negara secara keseluruhan.
Justeru itu, beliau berharap segala perbincangan berlangsung dalam mesyuarat tersebut dapat memperkukuhkan lagi amalan federalisme, mempererat hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta menghasilkan keputusan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Tag :