• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Fenomena Air Pasang Besar Bukan Untuk Berpesta

KUALA NERUS, 4 Disember - Orang ramai disaran mengutamakan keselamatan dan tidak ke pesisir pantai di negeri ini untuk menyaksikan fenomena air pasang besar tanpa memikirkan keselamatan diri.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Mohd. Rosman Abdullah berkata, beliau kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang masih ghairah melihat fenomena air pasang besar.  

Katanya, berdasarkan pemantauan di Pantai Seberang Takir di sini, masih ramai yang berkumpul di pesisir pantai untuk melihat ombak besar

"Air pasang besar yang membawa ombak setinggi 2.9 meter tersebut bukan lah pesta malah boleh membahayakan nyawa.

"Ada juga yang datang dari Kuantan (Pahang) semata-mata untuk menyaksikan fenomena tersebut," katanya ketika ditemui ketika memantau Pantai Seberang Takir di sini kelmarin.

Beliau menasihatkan orang ramai  agar mematuhi arahan menjauhi kawasan pesisir pantai di seluruh negeri ini sehingga 13 Disember depan.

"Orang ramai diminta agar menjauhi kawasan pantai sehingga fenomena air pasang besar ini reda demi keselamatan masing-masing," katanya.

Dalam masa yang sama, Rosman berkata, fenomena terbabit juga memberi risiko banjir kepada 37 penempatan yang terletak berhampiran pantai di seluruh negeri ini.