• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Fesyen Berbilang Kaum Empat Beradik Warnai Hari Malaysia 2021

KUALA TERENGGANU, 15 September - Fesyen kepelbagaian kaum menjadi tema pakaian buat empat adik beradik sempena menyambut Hari Malaysia 2021 dengan konsep Keluarga Malaysia.

Tuan Aqeel Aysar Safuan, 11, (kiri) dan kembarnya Tuan Aqeef Aysar, 11, (kanan) serta dua adik mereka Damia Aysarah Khalieesya, 8, dan Mia Aysarah Ayuni, 6, menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia ke-58 dengan mengibarkan Jalur Gemilang di Kuala Ibai.

Ibu mereka, Tuan Syazwiain Tuan Zaharahim Nazri, 31, berkata, walaupun mengharungi situasi norma baharu, ia bukan penghalang buat mereka untuk mempamerkan semangat cinta akan negara menerusi keunikan fesyen.

“Pakaian ini direka dengan campuran tema bangsa Melayu untuk lelaki dan perempuan berpakaian kebaya, kain batik serta anak bongsu berpakaian cheongsam menunjukkan kepelbagaian kaum di Malaysia.

“Setiap tahun kami membuat persiapan untuk hari kemerdekaan dengan pelbagai fesyen kebangsaan berlainan.

“Tema 'Malaysia Prihatin' masih menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Malaysia 2021 bagi mengingatkan rakyat pengorbanan yang dilalui dalam proses pembangunan negara serta kebanggaan menjadi anak Malaysia,” katanya ketika ditemubual media hari ini.