• 17 Jun 2021 | 7 Zulkaedah 1442

Fitnah : SU Politik MB Terengganu Lapor Polis

KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyiarkan artikel fitnah membabitkan MB, pentadbiran kerajaan negeri dan pihak istana.

Menurut Muhyiddin, antara dakwaan jahat dan tidak benar yang disiarkan dalam artikel itu adalah MB Terengganu kini tersepit dengan pihak istana serta wujud usaha daripada dalam PAS untuk mengambil alih jawatan MB.

"Berita dan kenyataan ini adalah satu fitnah, tidak benar dan berniat jahat terhadap kredibiliti Ahmad Samsuri dan wakil-wakil rakyat kerajaan.

"Oleh itu, saya hadir ke balai polis hari ini mewakili MB untuk membuat laporan polis kerana kenyataan dalam artikel terbabt sama sekali tidak betul," kata Muhyiddin kepada IPDI di perkarangan IPK Kuala Terengganu sebentar tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu berkata, pentadbiran kerajaan negeri tidak mengalami apa-apa masalah sebagaimana yang didakwa, malah semua pihak bekerja secara harmoni dan sedang melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa demi kepentingan rakyat.

"Saya percaya bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan mencari sokongan politik murahan dalam keadaan kerajaan sedang dan rakyat sedang menghadapi krisis COVID-19.

"Perbuatan fitnah ini hanya mahu menimbulkan prasangka buruk, keresahan masyarakat dan kebencian memuncak rakyat terhadapa kerajaan yang dipilih secara demokratik," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau menggesa pihak polis menjalankan siasatan segera terhadap portal tersebut kerana menabur fitnah.

Laporan polis dibuat bagi mewakili Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 4.00 petang tadi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi, Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim yang turut dikaitkan dengan isu terbabit tegas menafikan dakwaan itu.

Kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal dan sesiapa yang mengfitnahnya.

“Laporan menyebut saya diminta menjadi orang tengah bagi meredakan ketegangan antara Ahmad Samsuri dan pihak istana tidak benar sama sekali, ia tidak pernah berlaku dan sengaja direka-reka,” jelasnya.
 


Tag: