• 10 Mei 2024 | 2 Zulkaedah 1445

Floria Diraja Putrajaya 2019 : Terengganu Raih Gangsa



KUALA TERENGGANU, 10 September - Laman Darul Iman hasil rekaan pereka dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK Terengganu) berjaya memenangi gangsa bagi kategori Anugerah Taman Floria (Floria Garden Award-Corporate) pada penganjuran Floria Diraja Putrajaya (RFP) 2019.

Laman yang menampilkan konsep moden, ‘Drawbridge’ dan tradisional, batu bersurat bersaing hebat dengan Majlis Bandar Raya Johor Bharu dan Majlis Bandar Raya Iskandar Puteri yang masing-masing memenangi Perak dan Emas.

Hasil kemenangan di tempat ketiga itu, mereka membawa pulang trofi dan sijil penyertaan.

Sementara itu, pengiktirafan tertinggi iaitu Floria Garden Prime Award’ pula digondol oleh Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

Hadiah disampaikan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad di Taman Botani, Presint 1, Putrajaya semalam.




RFP edisi ke-11 yang berkonsepkan Bonsai & Orkid itu telah dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Ogos lalu.

Pameran yang bermula pada 31 Ogos hingga 8 September tersebut dimeriahkan dengan beberapa bahagian utama antaranya Magical Garden, Musical Garden, Royal Garden, The Magic of Bonsai & Suiseki dan Pertandingan Orkid Antarabangsa.

Istimewanya pameran tersebut ialah penampilan bunga orkid yang dinamakan sebagai Vanda Queen Azizah Iskandar sempena nama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.



Tag: