• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

'Fly' Sekejap 'Tersangkut' Dua Tahun

KUALA TERENGGANU, 12 September- Ditangkap kerana melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal sewaktu meraikan sambutan tahun baharu di ibu kota, Mat, 21 tahun, dikenakan hukuman di bawah Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di bawah kategori pesalah muda.

Akibat terikut-ikut rakan-rakan untuk mempamerkan aksi berbahaya, beliau disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain mengakibatkan hukuman PKM sebanyak 120 jam agregat selama dua tahun.

"Kini saya rasa menyesal sebab banyak rugi masa, setiap minggu dan waktu cuti saya kena melibatkan diri dengan pelbagai program khidmat masyarakat.

"Walaupun hanya dikenakan PKM, ia berat sebab mengganggu rutin kehidupan tambahan pula, saya terpaksa berulang jauh setiap minggu dari tempat kerja ke Kuala Terengganu untuk menjalani PKM," katanya ketika ditemui selepas Program Gotong-royong di kawasan Datara Pantai Batu Buruk, hari ini.

Salah seorang lagi pelatih PKM, Wan, 19 tahun, yang merupakan seorang pelajar di sebuah pondok pengajian, menyifatkan bahawa hukuman begitu membebankan dirinya.

"Saya belajar di hari biasa jadi saya terpaksa melibatkan diri pada hari minggu. Saya rasa terganggu dan ia memberi kesan kepada saya, kadang-kadang tekanan ada juga cuma ia tidak terlalu besar.

"Ada juga kawan-kawan pandang serong, mujur mudir madrasah tidak mengambil tindakan selepas tahu saya dikenakan PKM.

"Nasihat saya, kepada mat-mat rempit, sudah-sudahlah melanggar peraturan dengan melakukan aksi-aksi berbahaya kerana ia bukan sahaja menyusahkan diri kita tetapi juga ibu bapa dan keluarga," katanya yang kini hampir setahun menjalani hukuman PKM selepas ditangkap di Rantau Abang, tahun lalu.

Dalam program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu itu, seramai 12 pelatih PKM melakukan operasi pembersihan di sekitar kawasan rekreasi tersebut bagi melengkapkan jam agregat PKM.

Menurut Pengarah JKM Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan, sehingga Ogos 2023, terdapat sebanyak 44 kes yang aktif di Terengganu di mana statistik daerah Kuala Terengganu merupakan tertinggi iaitu 12 kes, diikuti Marang (8 kes), Dungun (7 kes), Kemaman dan Besut (6 kes), Hulu Terengganu (3 kes) serta Setiu (2 kes).

"Biasanya PKM ini adalah hukuman ringan bagi kesalahan seperti mat rempit, lumba haram, curi motosikal dan kesalahan-kesalahan kecil yang boleh dipertimbangkan.

"Di Terengganu setakat ini, keadaan tidak membimbangkan berbanding negeri-negeri yang lebih besar.

"Tetapi, kalau dilihat pada peratusan penduduk, ia tetap perlu diambil berat kerana kes sentiasa ada. Kita perlu melakukan sesuatu juga dan JKM sendiri cuba mengadakan program di peringkat kanak-kanak untuk mengelakkan perkara ini berlanjutan lebih serius," katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan hukuman PKM seharusnya dilihat sebagai alternatif yang baik kepada pesalah muda.

"Saya suka melihat hukuman ini sebagai satu bentuk alternatif dan peluang kedua kepada pesalah-pesalah muda kita kerana dengan cara ini kita dapat mengelakkan mereka daripada berada dalam tirai besi di mana banyak stigma yang negatif di sana.

Mazura (bertudung oren) bersama kakitangan JKM Terengganu melihat hasil kerja pembersihan pelatih PKM.

"Dengan cara ini, mereka dapat peluang kedua dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa serta dalam masa sama, hukuman dapat dijalankan, untuk memberi pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan.

"Walaupun dilihat seakan-akan mudah, tetapi mereka dapat pengajaran kerana pelatih perlu melibatkan diri bagi mengelakkan hukuman lebih berat dikenakan," jelasnya.

 


Tag: