• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Food Bank Ringankan Beban Rakyat Setiu

Oleh : Faris Ameir Ibrahim

SETIU, 12 April - Program Food Bank di Parlimen Setiu memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat termasuk  meringankan kos sara hidup golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Program bantuan tersebut berbentuk bakul makanan yang menggabungkan keperluan dan makanan asas.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, pihaknya mengambil langkah melaksanakan inisiatif itu selepas menyedari kesusahan rakyat terutama di waktu pandemik.

Katanya, program itu telah dilancarkan pada awal Mac lalu dan pelbagai cara dibuat untuk mempromosikan bantuan tersebut kepada rakyat Setiu yang memerlukan.

"Kita telah meletakkan kain rentang di tempat-tempat yang strategik dan kita juga mengiklankan bantuan ini di facebook.

"Bagi yang memerlukan, bolehlah hubungi nombor telefon yang tertera pada kain rentang mengikut kawasan masing-masing yang dibahagikan mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Pegawai Ahli Parlimen di setiap DUN akan membantu dalam menyampaikan bantuan berupa bakul makanan ini," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) kelmarin.

Kata Shaharizukirnain, setakat ini ratusan keluarga telah menerima manfaat daripada program tersebut.

"Alhamdullilah, setakat ini sudah lebih ratusan isi rumah telah menjadi penerima Food Bank ini di seluruh Setiu.

"Program ini akan terus berlanjutan sehingga ke satu masa yang akan diberitahu.

"Bagi menyelaraskan urusan program ini, kita mewujudkan satu tempat yang memudahkan penerima untuk menerima bantuan ‘Food Bank’ ini, contohnya di DUN Batu Rakit, pusat pengagihan program ini terletak di Kedai Runcit Stemza (Kedai Pok Malik)," tambah beliau.

 


Tag: