• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Fun Ride : Bina Budaya Sihat Dan Cintai Alam

KUALA NERUS, 17 September - Seramai 350 peserta telah menyertai program kayuhan Malaysia Day Ride 2020 sejauh 33 Kilometer bermula di Kompleks Sukan Negeri Terengganu semalam.

Aktiviti berkenaan dianjurkan Tepoh Cakna Cycling Team (TCCT) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Nerus, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Terengganu Inc. TSG.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia merupakan usaha memupuk semangat kesukanan dan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat.

"Di samping itu, ini jua adalah peluang untuk peserta menikmati alam dan suasana persekitaran menerusi jelajah perkayuhan ini," ujarnya semasa program berlangsung.

Beliau yang juga Penaung Kelab TCCT berkata, penganjuran program itu juga bagi menyuntik dan menimbulkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar. 

"Seawal kayuhan sehingga ke garisan penamat, kita akan melihat persekitaran laluan kita. Sudah tertentu kita akan berfikir sesuatu apabila melihat persekitaran kita dipenuhi dengan sampah sarap.

"Pastinya apa yang kita lihat dengan tanggungjawab akan mencetus satu rasa semangat untuk lebih bertanggungjawab selepas ini.

"Kita perlu membentuk masyarakat supaya menjadi golongan yang lebih prihatin menjaga alam sekitar dan menerapkan budaya berdisiplin, khususnya ketika berada di jalanraya," jelasnya.

Terdahulu, acara perlepasan peserta kayuhan disempurnakan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.


Tag: