• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

G25 Sedang Mempromosi Pemikiran Sesat dan Mengelirukan




KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 mengkritik undang-undang murtad, mengatakan keputusan seorang Islam untuk keluar agamanya antara individu itu dengan Tuhan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata G25 adalah satu kumpulan yang sedang bergerak mempromosi pemikiran yang merosakkan aqidah, syariat dan akhlak umat Islam meskipun anggotanya terdiri di kalangan orang yang mengaku Islam.

Katanya, pendirian mereka yang menolak tindakan dan hukuman dikenakan kepada pesalah yang melanggar hukum agama Islam adalah jelas sesat dan tersasar. Ia lahir dari keyakinan yang salah dan songsang terhadap hakikat sebenar agama Islam yang menjadi agama bagi negara Malaysia menurut perlembagaan.

Tambah beliau lagi, agama Islam bukan hanya agama yang mengandungi hukum-hakam dan peraturan yang melibatkan pahala dan dosa yang dihukum di Akhirat tetapi ia adalah agama yang mencakupi undang-undang melibatkan kehidupan manusia yang dikenakan tindakan dan hukuman di dunia.

“Islam menetapkan bahawa mengambil tindakan dan hukuman atas kesalahan berlandaskan hukum agama itu adalah kewajipan dan tanggungjawab mereka yang berkuasa dalam sesebuah negara dan negeri bagi menjamin dan memelihara keselamatan agama, nyawa, jasad, harta, maruah dan akal rakyat.

“Persetubuhan luar nikah dan minum arak sebagai contoh adalah kesalahan agama dan jenayah yang mesti dikenakan hukuman di dunia bukan hanya di Akhirat bagi menjamin kesucian nasab dan kesejahteraan akal manusia,” ujarnya dalam satu kenyataan dalam laman sosialnya hari ini.

Jelasnya, ini termasuklah jenayah membunuh, mencederakan, mencuri dan merompak yang merupakan kesalahan agama yang mesti dikenakan hukuman di dunia bagi menjamin keselamatan nyawa, jasad dan harta manusia.

Menurut Mohd Khairuddin, pemikiran G25 secara keseluruhannya bertujuan untuk membuang agama daripada kehidupan manusia dan seterusnya membuang agama daripada pengurusan bernegara. Ia pemikiran yang bahaya dan sesat bagi umat Islam.

“Sebaran pemikiran mereka juga bercanggah dengan peruntukan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Ia juga bercanggah dengan undang-undang negeri-negeri dalam Malaysia yang memperuntukkan hak dan kuasa kepada kerajaan untuk mengenakan hukuman dunia terhadap pesalah-pesalah agama.

“Kerajaan Persekutuan dan juga negeri di mana pemikiran mereka disebar dan diwacanakan perlu segera bertindak terhadap kumpulan ini yang dilihat semakin berani mempromosi pemikiran songsang mereka,” katanya.

Untuk rekod, G25 adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyuarakan perspektif wasatiyyah dalam hal keagamaan, memperkukuh institusi perundangan serta mempertingkatkan mutu pentadbiran dan pemerintahan negara.

Terbaharu, satu kertas laporan yang dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Asiah Abu Samah yang juga merupakan wakil G25 bertajuk “Administration of Matters Pertaining to Islam” telah dibentangkan

Jelas G25 dalam laporan tersebut, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat jumaat misalnya adalah tidak wajar dan mengatakan perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya adalah antara individu itu dengan Tuhan.
Laporan itu juga mengatakan undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.



Tag: