• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Gabungan NGO Terengganu Sumbang 2,000 Set PPE Buat 'Frontliners'

KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dengan gabungan NGO lain mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan berupa 2,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelindung muka kepada barisan hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, NGO memainkan peranan besar dalam membantu kerajaan menyelesaikan isu terkini seperti masalah kebajikan dan sosial.

“Oleh itu, UBSNT menggerakkan usaha ini bersama IMAN CARE iaitu penyumbang utama serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), HANEES, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK), TESDEC dan agensi lain yang terlibat.

“UBSNT, melalui Unit NGO sentiasa terbuka menerima kerjasama daripada NGO-NGO di luar sana dalam membantu menyelesaikan dan menangani pelbagai keperluan sosial,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi tadi.

Tambah Sukairi, Kerajaan Negeri melalui UBSNT turut merancang untuk program sumbangan 10,000 mushaf Al-Quran dan 50,000 pelitup muka ke Sabah dalam masa terdekat, dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia serta agensi lain.

Sementara itu, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak memaklumkan, pihaknya turut berjaya menubuhkan tabung kecemasan COVID-19 hasil kerjasama pelbagai badan terlibat diselaraskan Majlis Muafakat NGO Terengganu (MMNT).

“Melalui tabung tersebut, ia sedikit sebanyak akan lancarkan pergerakan NGO mengutip dana ketika menghadapi cabaran wabak semasa.

“Manakala objektif sumbangan hari ini menyasarkan 2,000 set diselesaikan mulai hari ini sehingga akhir bulan Februari, dengan hantaran pertama pada minggu hadapan dan hantaran kedua selewatnya pada Mac.

“YPK, TESDEC dan HANEES akan bertindak menyusun dan menyiapkan kelengkapan PPE yang dihasilkan sendiri oleh mereka,” katanya.