• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Gadai Nyawa Buru ‘Emas’ Tualang

Rosli Hashim (dua dari kanan).
Oleh : Ariss Alias

SETIU, 1 September – Kualiti madu tualang atau madu lebah hutan banyak diperkatakan sebagai madu terbaik sehingga menyebabkan orang ramai membayar pada harga yang tinggi untuk mendapatkannya.

Perkara itu menyebabkan sesetengah orang kampung bergadai nyawa mencari manisan ‘emas’ demi meningkatkan taraf ekonomi, kumpulan terbabit dikenali sebagai kumpulan ‘Tualang Chalok’.

Pengasas kumpulan itu, Rosli Hashim, 49, berkata, beliau mula mengambil madu lebah bunga Gelam sebelum timbul minat untuk mengutip madu lebah Tualang kerana memberikan hasil yang lebih lumayan.

“Saya menubuhkan kumpulan ‘Tualang Chalok’, ahlinya seramai tujuh orang berasal dari sekitar Mukim Chalok pada tahun 2003 dan kekal sehingga sekarang bagi memudahkan kerja seharian.

“Rekod bagi kami ialah kami pernah mengutip madu daripada 37 buah sarang dalam satu pokok. Tempoh masa untuk ambil mengutip madu biasanya dalam lima hingga enam jam, biasa bermula selepas Isyak dan akan selesai sebelum Subuh.

“Hasil paling banyak kami pernah perolehi pernah mencecah RM40 ribu yang akan dibahagikan antara ahli kumpulan,” ujarnya ketika ditemui pemberita.
Madu tualang.
Bagi anggota kumpulan terbabit, Ridzwan Hussin, 37, mengatakan dia menghadiri kursus yang dianjurkan oleh jabatan perhutanan dan pihak Agro Setiu sebelum mahir dalam kerja itu.

“Kaedah ini (yang dipelajari) diakui sebagai paling moden dan selamat menjadikan saya yakin untuk bekerja.

“Masa yang diambil untuk mengutip madu bagi satu adalah sekitar 30 minit,” katanya lagi. 

Bagi veteran kumpulan itu yang berpengalaman lebih 20 tahun, Abdul Majid Deraman, 56, pelbagai lokasi telah dikunjungi di Terengganu untuk mencari madu lebah.

“Jenis madu yang dikutip terdiri daripada jenis madu lebah Kampong, lebah Bunga Gelam hinggalah ke madu Tualang, Kumpulan kami biasanya ke kawasan Tasik Kenyir dan paling jauh ke daerah Kemaman,” ujarnya.

Gadai nyawa demi sesuap nasi.


Tag: