• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Galak Ibu bapa Muda Sertai Skim BSN MyFirst

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri menerusi portfolio Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri menggalakkan ibu bapa membuat tabungan seawal kelahiran bayi demi menjamin masa depan anak-anak.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif  Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melancarkan kempen ‘DUIT for Baby’ melalui skim baharu iaitu BSN MyFirst.

Katanya, kempen yang diperkenalkan bermula 23 Jun lalu sehingga akhir tahun 2020 iaitu 31 Disember bertujuan menggalakkan simpanan untuk kanak-kanak yang berumur dibawah tujuh tahun.

“Dalam usaha melahirkan masyarakat celik kewangan, saya mewakili kerajaan negeri megucapkan terima kasih kepada BSN dan AKPK kerana menganjurkan program sebegini.

“Kempen ‘DUIT for Baby’ ini bukan sahaja memberi fokus untuk mendidik ibu bapa muda mengenai perancangan kewangan menerusi modul pendidikan kewangan secara atas talian, malah turut menekankan kepentingan celik kewangan dalam kalangan wanita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Wanita Bijak Wang 2.0 Dan Majlis Pelancaran BSN MyFirst, DUIT For Baby di Dewan Auditorium, Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor; Pengurus Besar Bahagian Operasi AKPK, Nor Fazleen Zakaria dan Pengarah Negeri BSN Terengganu, Mohammad Khasnieddy Khasimi.

Sementara itu Nor Fazleen berkata, menerusi skim ini, hadiah simpanan bernilai RM50 akan didepositkan ke dalam akaun BSN MyFirst bagi 10,000 penyimpan pertama yang mendaftar.

“Tertakluk terma dan syarat, penyimpan yang menyertai perlu mendepositkan minimum RM50 ke dalam akaun serta mengikuti kursus kewangan secara atas talian yang disediakan di laman sesawang AKPK.

“Disamping itu, penyimpan juga berpeluang memenangi hadiah BSN SSP bernilai sehingga RM5,000 dengan menghantar tiga slogan selepas mengikuti kursus kewangan AKPK,” ujarnya.
 


Tag: