• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Galak Penjawat Awam Derma Darah, Bantu Pesakit Memerlukan

KUALA TERENGGANU, 14 Disember- Penjawat awam diminta tampil menderma darah bagi memastikan perawatan kepada pesakit yang memerlukan transfusi darah di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) khususnya tidak terjejas.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja berkata, bekalan stok darah negara perlu sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan prosedur transfusi darah.

“Program yang dianjurkan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan PUSPANITA Negeri Terengganu ini merupakan salah satu usaha menggalakkan masyarakat khasnya penjawat awam menderma darah.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk kita bersedekah (menderma darah) kerana ianya sangat bermakna kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Derma Darah AKRAB Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan PUSPANITA Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, program tersebut mendapat sambutan yang sangat baik dan patut dicontohi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Setakat pagi ini sahaja sudah lebih 50 orang yang mendaftar dan saya yakin program ini berjaya menarik sekurang-kurangnya 200 penjawat awam untuk menderma darah.

“Terima kasih juga kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang menugaskan tiga orang doktor dan sepuluh jururawat untuk bersama-sama menjayakan program ini,” ujarnya.