• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Galeri Khairunnisa’ Bantu Pasarkan Produk Usahawan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 2 Mac- Penubuhan Galeri Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Bekas Wakil-Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa') yang beroperasi di Kompleks Usahawan Terengganu, Manir secara tidak langsung membantu usahawan dan komuniti kraf khususnya untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.

Pengerusinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, beliau yakin Galeri Khairunnisa’ yang bertindak sebagai pusat aktiviti dan pameran, jahitan dan aksesori serta jualan hasil kraftangan yang memaparkan identiti Negeri Terengganu mampu menarik minat orang ramai untuk melihat barangan yang dijual.

“Idea penubuhan galeri dan pusat aktiviti ini tercetus daripada penganjuran  program jejari emas oleh Persatuan Kharunnisa’, di mana kita bersama-sama turun padang untuk ajarkan kemahiran menjahit kepada penduduk di kampung-kampung seluruh Terengganu.

“Justeru, kita ingin lihat adanya satu galeri untuk membantu memasarkan produk dari mereka (orang kampung) tanpa sebarang cas dan penyertaan daripada penduduk yang berminat memasarkan apa sahaja produk yang diusahakan sangat dialu-alukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Galeri Khairunnisa’ yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman di sini, hari ini.

Katanya, Persatuan Khairunnisa’ juga bercadang untuk mengadakan kolaborasi bersama Portfolio Pelancongan Negeri bagi menjadikan galeri berkenaan sebagai salah satu produk pelancongan.

“Kita selalu menerima rungutan daripada orang luar di Terengganu ini tidak ada satu pusat yang menyediakan kepelbagaian produk Negeri Terengganu, kita cuba buka untuk tujuan itu dan bila bila orang datang nak cari produk Terengganu seperti kraf tangan, batik, anyaman dan sebagainya boleh datang ke sini,” ujarnya.

Tambah beliau, pusat aktiviti wanita yang beroperasi di galeri tersebut juga banyak memberi manfaat kepada penduduk sekitar termasuk membuka peluang kepada mereka mengikuti kelas yang dianjurkan.

“Antara aktiviti yang disediakan seperti kelas menjahit, dandanan dan masakan. Aktiviti sebegini sedikit sebanyak sebenarnya boleh menjana pendapatan kepada mereka khususnya suri rumah,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan Persatuan Khairunnisa’ menubuhkan gelari dan pusat aktiviti terbabit.

“Tahniah saya ucapkan kepada usaha murni pihak persatuan yang telah menjadi peneraju untuk membantu memasarkan produk usahawan khususnya dalam pembuatan kraf dan seumpamanya.

“Dengan adanya galeri sebegini kita dapat ketengahkan lagi hasil usahawan Terengganu kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri.

“Penduduk sekitar juga boleh ambil manfaat untuk pasarkan produk masing-masing kerana ramai yang saya jumpa mereka boleh menghasilkan produk tetapi agak gagal untuk memasarkan dan sayang kerana produk-produk mereka ini sebenarnya berkualiti,” ujarnya.