• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Galeri ‘Skybridge’ Rekod 5,000 Pengunjung Dalam Tempoh Empat Hari


KUALA TERENGGANU, 19 September- Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya TI Properties Sdn. Bhd merekodkan hampir 5,000 pelancong tempatan dan luar negara mengunjungi galeri ‘Skybridge’ yang terletak di menara tinjau jambatan angkat atau ‘Drawbridge’ di Kuala Terengganu dalam tempoh empat hari pembukaan.

Pengurus Pemasaran TI Properties Sdn. Bhd, Mohd Nazahar Samsudin berkata, jumlah  kehadiran pengunjung ‘Skybridge’ yang dibuka pada  15 September lalu sangat membanggakan, terutama pada pertama pembukaan dan  Hari Malaysia lalu.

Katanya, melihat situasi itu, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran jumlah pengunjung lebih 50,000 sehingga akhir tahun ini.

“Kehadiran orang ramai luar jangka itu, mungkin disebabkan harga tiket yang masih dalam promosi iaitu serendah RM5 untuk semua warga Malaysia, percuma bagi kanak-kanak bawah lima tahun manakala bagi bukan warganegara  RM15 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.

“Faktor lain, keterujaan orang ramai dan pelancong luar yang menyiarkan gambar kenangan masing-masing dalam pelbagai laman sosial terutama facebook dan instagram,”katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman, di Skybridge , hari ini.

Galeri  yang dibuka kepada umum pada setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam itu mempamerkan pelbagai jenis lukisan milik pelukis tempatan dan bermungkinan akan ditukar kepada pameran lain pada bulan berikutnya.

Untuk keselesaan antara 70 hingga 80 orang dihadkan berada di atas skybridge berkenaan dalam satu-satu masa.

Pembukaan galeri ini turut memberi impak limpahan ekonomi kepada pemain industri pelancongan lain termasuk bot penambang.

Drawbridge yang juga jambatan angkat pertama di Asia Tenggara mula dibuka secara rasmi kepada orang awam pada 1 Ogos lalu.

Jambatan ikonik bernilai RM248 juta itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Sebelum ini, jambatan berkenaan dibuka untuk tempoh percubaan dari 2 hingga 17 Jun lalu sempena sambutan perayaan Aidilfitri.


Tag: