• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

GAMIS Gesa Kerajaan Libatkan Mahasiswa Dalam Pentadbiran

KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Terengganu mencadangkan kerajaan Terengganu melibatkan mahasiswa dalam urus tadbir negeri.

Pengerusi GAMIS Terengganu, Adam Akmal Mohd Fadzli berkata, pihaknya juga mahu kerajaan mengangkat agenda kebajikan orang muda.

“Memorandum ini diserahkan kepada pimpinan kerajaan bagi menyatakan sokongan kenyataan Menteri Besar untuk tidak membubarkan DUN sehingga tamat tempoh pemerintahan atas dasar kestabilan pentadbiran.

“Saya juga mewakili mahasiswa di Terengganu menyeru pihak kerajaan agar tidak pinggirkan kebajikan mahasiswa secara menyeluruh termasuk penuntut universiti awam,” tambah beliau ketika ditemu bual pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri di Wisma Darul Iman.

Pada masa sama, GAMIS menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana melibatkan anak muda termasuk golongan mahasiswa sebagai penerima bantuan one-off melalui Belanjawan 2022. 

Penyerahan tersebut turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

 


Tag: