• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Gangguan Air Tak Halang Sektor Perindustrian Beroperasi

KUALA NERUS, 3 September - Sektor ekonomi di Kawasan Perindustrian Gong Badak tidak mengalami sebarang kesan teruk akibat Insiden Air Berangan 2.0.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihak kerajaan bersama pelbagai agensi dan sukarelawan sedang menumpukan segala tenaga serta jentera dalam memastikan bekalan air tidak terputus.

“Jika pengusaha sektor komersial tersebut berada dalam situasi kritikal, maka mereka boleh memohon sokongan air daripada Syarikat Air Terengganu (SATU). Boleh dikatakan syarikat beroperasi berkemampuan untuk atasinya dengan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tinjauan dan kerja bantuan Misi Bantuan Air di Dewan Serbaguna Tepoh, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim dan Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Sementara itu, beliau yang juga ADUN Ladang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada DUN Tepoh bagi membantu kawasan dengan jumlah rumah paling terkesan dalam kalangan enam DUN.

“Alhamdullilah, saya bertanya dengan wakil rakyat disini bekalan air minuman sedang diagihkan dalam dua fasa, namun begitu kami dari kawasan Ladang akan bantu bila perlu.

“Meskipun ada segelintir masyarakat tertekan, namun kebanyakan mereka berpuas hati, Insya-Allah kerajaan negeri akan teruskan usaha pembahagian air mengikut bilangan rumah tidak mengira latar belakang,” katanya lagi.

Terdahulu, Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September.