• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 3 April - Gangguan bekalan air akibat paip pecah di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sudah mula pulih sejak pukul 6 pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ts. Abdul Karim Endut berkata, status terkini insiden paip pecah di Pulau Kambing yang melibatkan tangki Bukit Kecil kini telah siap diperbaiki.

"Alhamdulillah, kerja pembaikan paip kedua telah berjaya disiapkan tengah malam tadi.

"Dijangka bekalan air untuk pulih sepenuhnya di kawasan-kawasan yang terjejas di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus adalah pada pukul 7.30 malam ini.

"Setakat 6 pagi ini, sebanyak 22,000 akaun atau 70 peratus pengguna dari dua daerah yang terjejas tersebut telah mendapat bekalan air," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Jelas Abdul Karim, proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas masih belum pulih sepenuhnya berikutan keadaan semasa paras tangki air yang masih rendah.

"Bekalan air akan pulih secara berperingkat dan tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Sehingga kini, sebanyak enam buah lori tangki air dan 13 buah tangki statik sedang dan telah digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan mengutamakan kepada premis-premis kritikal.

"SATU juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakkan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki," ujarnya.


Tag: