• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Gangguan Elektrik Akibat Banjir Ambil Masa Untuk Dipulihkan

KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa lokasi di Terengganu akibat hujan lebat dan ribut dijangka mengambil masa yang agak lama untuk dipulihkan.

Menurut kenyataan itu seperti yang dipetik Bernama, tempoh masa yang panjang diperlukan kerana banyak pokok tumbang dan menghempap tiang serta talian TNB.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kuala Berang di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Setiu.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri talian TNB yang jatuh atau mana-mana pepasangan elektrik yang rosak.

"Pasukan teknikal berusaha untuk memulihkan bekalan termasuk mengutamakan keselamatan semua pihak semasa kerja-kerja pemulihan bekalan," ujarnya.