• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Gangguan Kualiti Air : SATU, TNB Ambil Tindakan Segera

KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang mengambil langkah segera untuk menyelesaikan masalah gangguan kualiti air di 24 kawasan di daerah ini.

SATU dalam kenyataan sebentar tadi berkata, pihaknya menerima bantuan Stesen Janakuasa Elektrik TNB Tasik Kenyir bagi melepaskan air dari empangan Kenyir untuk menyeimbangkan paras kepekatan garam dalam air mentah di muka sauk.

"Pihak TNB sedia maklum mengenai situasi ini dan air akan dilepaskan lapan jam sebelum waktu pasang tinggi berlaku.

“Bacaan tahap kemasinan air yang dibekalkan juga akan dipantau," katanya.

Terdahulu SATU memaklumkan, gangguan kualiti air berpunca daripada penerobosan air masin pada muka sauk Pulau Musang melibatkan tangki Bukit Kecil dan tangki Bukit Losong.

Antara kawasan terjejas ialah Kampung (Kg) Losong, Kg Kubang Buyong, Kg Paloh, Kg Pulau Rusa, Kg Kuala Bekah, Kg Pulau Musang, Kg Sungai Rengas, Kg Kubang Tangga, Kg Durian Burung, Kg Bukit Kubang Jambu, Kg Wakaf Che Kapur, Kg Kubang Parit.

Turut terjejas ialah Kg Pulau Kambing, Chabang Tiga, Kg Tokku, Kg Seberang Baroh, Kg Hiliran, Kg Bukit Kecil, Kg Pasir Panjang, Kg Gong Kapas, Kg Panji Alam, Kg Gong Pak Maseh, Jalan Budiman dan kawasan sekitar.

Menurut SATU, perkembangan lanjut situasi dari semasa ke semasa akan dimaklumkan menerusi saluran komunikasi seperti laman sesawang www.satuwater.com.my, aplikasi MySATU, Facebook, Instagram dan Linkedin.

"Pengguna boleh menghubungi talian 1300-88-2111 jika mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan," menurut kenyataan itu.


Tag: