• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Gantian Dokumen Percuma Kepada Mangsa Banjir - JPJ

KUALA TERENGGANU, 23 Disember -Mangsa bencana banjir di Terengganu tidak perlu khuatir kerana layak mendapatkan semula perkhidmatan penggantian dan pembaharuan dokumen  yang musnah secara percuma.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata,  penggantian secara percuma itu membabitkan lesen memandu Malaysia (LMM), lesen kenderaan motor (LKM) dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).

Menurutnya, pembaharuan dan penggantian secara percuma itu membabitkan dokumen yang rosak, hilang ataupun musnah akibat banjir yang luar biasa melanda di negeri ini.

“Pemilik dokumen perlulah hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan salinan gantian di mana-mana kaunter JPJ di negeri ini.

"Bagi dokumen yang hilang ataupun musnah akibat banjir, pemilik perlu mengemukakan salinan laporan polis atau salinan borang pendaftaran mangsa bencana yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ataupun pejabat daerah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus, petang ini.

Tambah  Zulkarnain lagi
pihaknya  juga akan berkolaboratif dengan pihak JKM bagi memudahkan lagi urusan mangsa banjir jika mereka tidak mengemukakan salinan dokumen yang diperlukan.

"Tiada tempoh tertentu diberikan kepada mangsa banjir untuk berbuat demikian, namun saya nasihatkan mereka perlu mohon seberapa segera sebaik sahaja keluar daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya.