• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Gelanggang Futsal Penuhi Hasrat Pemuda Batangan

MARANG, 4 September - Gelanggang futsal yang sedang dibina bakal memenuhi hasrat dan impian golongan belia Kampung Batangan untuk memiliki kemudahan dalam aktiviti sukan.

Disebabkan kampung Batangan terletak agak jauh dari jalan utama dan kawasan membangun, anak muda kampung terbabit yang ingin bersukan mengalami kesukaran apabila ketiadaan kemudahan gelanggang futsal.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batangan, Abdul Rahman Abdullah berkata, dengan adanya kemudahan berkenaan nanti, ia memberi peluang kepada golongan belia untuk terus aktif dalam aktiviti sukan.

"Pembinaan gelanggang futsal di Kampung Batangan ini bukan sahaja dapat dijadikan tempat untuk bermain futsal malah menjadi tempat riadah masyarakat setempat khususnya generasi muda bagi mengelak mereka terjebak dalam kegiatan tidak berfaedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat kunjungan bersama Pejabat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di lokasi gelanggang futsal tersebut hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pemuda Pas DUN Rhu Rendang, Ziyad Zakaria dan AJK MPKK Kampung Batangan.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, gelanggang itu dibina di bawah peruntukan Jabatan Pembangunan Negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang.

"Di awal pemerintahan kerajaan negeri, kita mendapat maklumat tentang hasrat golongan belia yang mengharapkan sebuah gelanggang futsal.

"Pihak pengurusan DUN telah berusaha membawa hasrat ini kepada jabatan berkenaan, selari dengan keutamaan permohonan yang dipohon oleh setiap MPKK di dalam kawasan Rhu Rendang," katanya.

Menurut beliau, pihaknya memandang berat keperluan rakyat setempat kerana gelanggang tersebut bukan sahaja dijadikan tempat untuk bermain, malah sebagai tempat kemudahan bagi segenap lapisan masyarakat.

"Bagi belia dan penduduk kampung pula, jagalah kemudahan yang ada di kampung sebaiknya, gunakan dengan betul dan ikut peraturan supaya kerajaan boleh menyediakan lebih banyak kemudahan di kampung masing-masing," tambahnya.


Tag: