• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Gelombang Ahli UMNO Sokong PAS Bakal Gugat Kerajaan Persekutuan

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Perubahan Kerajaan Persekutuan yang disebutkan bukanlah khayalan ataupun mimpi di siang hari, Perlembagaan Persekutuan membolehkan ia berlaku mengikut aturan yang ditetapkan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata apatah lagi jika perubahan itu diinginkan oleh majoriti rakyat.

Katanya, petanda itu semakin memuncak dari hari ke hari. 

“Sebagai bukti, dalam waktu kempen, gelombang perubahan itu mula menular dari satu tempat ke tempat yang lain, ramai akar umbi UMNO menzahirkan sokongan kepada PAS/PN.

“Contohnya di DUN Tepoh, orang kuat UMNO di beberapa cawangan seramai hampir 100 orang telah mengisytiharkan keluar UMNO dan memberikan sokongan kepada PAS,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Isu Semasa bertempat di Pusat Media PAS Terengganu, Lot 9k Plaza Padang Negara Terengganu di sini hari ini.

Tambah Dr Alias, keluarnya mereka daripada UMNO adalah kerana merasakan dikhianati oleh pemimpin atasan sendiri dan kerana tidak rela bersekongkol dengan PH terutamanya DAP.

“Begitu juga di kebanyakan DUN lain dan gelombang penolakan terhadap BN-PH ini tidak terhenti di situ, ramai lagi dijangka akan keluar daripada UMNO sama ada secara zahir di pentas ceramah ataupun sebaliknya.

“Kita juga mendapat banyak maklum balas daripada ahli UMNO yang masih kekal dalam UMNO,” katanya.

Beliau berkata, mereka juga memilih untuk memberikan undi kepada PAS dalam pilihan raya ini supaya menjadi isyarat dan teguran kepada kepimpinan UMNO untuk kembali kepada perjuangan asal UMNO.

“PAS Terengganu sangat mengalu-alukan kehadiran dan sokongan mereka dan semoga ia mampu menguatkan PAS/PN bagi membina negeri yang sejahtera,” ujarnya.

 

 

 

 


Tag: