• 27 Sept 2021 | 19 Safar 1443

Gelombang COVID-19 Terengganu Lebih Besar Berbanding Tahun Lepas

BESUT, 9 Mei – Gelombang terbaru COVID-19 di Terengganu pada tahun ini menunjukkan trend peningkatan lebih parah berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) pada Mac tahun lepas.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, situasi membimbangkan di Besut dengan peningkatan kes tinggi merebakkan penularan lebih meluas berbanding gelombang sebelumnya.

“Bilangan kes positif Covid-19 yang direkodkan di Besut pada hari ini cukup tinggi dengan 45 kes berbanding jumlah keseluruhan sebanyak 71 kes.

“Sekiranya perkara ini tidak dibendung, pergerakan kes positif Covid-19 akan berhijrah ke daerah terdekat seperti Setiu, yang kini turut mencatatkan pertambahan jangkitan dalam tempoh beberapa hari lepas.

“Paling menakutkan jika Covid-19 menular ke seluruh daerah di Terengganu, jadi saya merayu rakyat agar mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, Terengganu akan menjadi seperti negeri lain jika kes melonjak tinggi sehingga berlarutan berbulan-bulan menjadikan kawalan penularan sukar diturunkan.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Tok Saboh di sempadan Terengganu-Kelantan, semalam.

Sementara itu, Ahmad Samsuri turut menyuarakan kerisauan terhadap peningkatan jumlah kenderaan masuk ke Terengganu menjelang Aidilfitri.

“Ini amat dikhuatiri akan cetuskan pertambahan kes positif virus terutama jika pergerakkan berasal dari zon merah,” jelasnya.