• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Gelombang Pertama Banjir Di Terengganu Kini Bermula

KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Gelombang pertama banjir di Terengganu kini bermula dengan hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di negeri ini dinaiki air.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 11 pagi ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Setiu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang beroperasi kini adalah tiga termasuk di Kuala Nerus.

Katanya, seramai 45 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di kesemua tiga PPS berkenaan.

“Di Setiu, PPS Balai Raya Kampung Bari Besar dibuka pukul 8 pagi ini dengan melibatkan pemindahan seramai 16 mangsa manakala di PPS Masjid Chalok Kedai pula dihuni seramai lima mangsa.

“Keseluruhan mangsa banjir kini seramai 45 orang termasuk 24 daripadanya ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot di Kuala Nerus yang dibuka semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Setakat pagi ini, cuaca di seluruh negeri masih lagi hujan lebat di kebanyakan tempat.