• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Genap Enam Dekad Bangunkan Ummah Rabbani

KUALA TERENGGANU, 7 April - Genap 64 tahun Majlis Tilawah Al-Quran diadakan di peringkat negeri dan ia selari dengan hasrat kerajaan Terengganu dalam meletakkan prinsip Islam selari dengan pembangunan semasa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan majlis norma baharu bertemakan ‘Ummah Rabbani, Negara Harmoni’, kerajaan menekankan prinsip agama dan penghayatan taqwa.

“Ini adalah penting dalam pembangunan modal insan dan fizikal negeri demi kecapi keharmonian dan rahmat Allah.

“Usaha ini direalisasikan oleh kerajaan negeri melalui pendidikan dengan penubuhan Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyung, Pusat Bahasa Arab Al-Azhar As-Syarif Darul Iman dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 1442H/2021M di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Negeri, Samiun Salleh, Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-Ahli Parlimen.

Hadir Sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, penyertaan masyarakat di peringkat daerah amat menggalakkan dengan penyertaan 159 orang terdiri daripada 109 Qari dan 50 Qariah.

“Sejak 64 tahun lalu, Menteri Besar Terengganu pada masa itu, Mohd Daud Abdul Samad menyahut hasrat Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk mengadakan majlis seumpama itu.

"Kesinambungan daripada itu, buat julung kali majlis sebegini diadakan pada 14 Mac 1960 di Istana Maziah," jelas beliau.

Katanya, sejak dari itu sehingga kini, Terengganu menjadi salah sebuah negeri yang mencatat sejarah penting dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan.

“Johan kali ini akan mewakili Terengganu di peringkat negeri yang dicadangkan berlangsung pada 13 sehingga 18 Jun di Ibu Negara,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri.

Program berkenaan berlangsung selama tiga hari ini melibatkan 16 peserta dari seluruh daerah.