• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Genap Tiga Tahun, Sukar Tapi 'On Track'

KEMAMAN, 10 Mei - Sempena tiga tahun pentadbiran kerajaan Terengganu hari ini ia boleh disifatkan sebagai mencabar namun berada di landasan tepat apabila beberapa kejayaan telah dicapai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, dalam tempoh tiga tahun pentadbiran pelbagai manifesto telah dilaksanakan.

“Dalam tempoh ini cabarannya memang banyak kerana kita mulakan kerajaan ini bukan daripada kosong contohnya masalah berkaitan projek atau bangunan terbengkalai, sistem yang perlu diperbaiki dan sebagainya yang sememangnya memakan masa.

“Selain itu, bagaimana kita hendak memurnikan keadaan yang ada dan akhirnya memberi manfaat kepada rakyat, sudah tentu tiga tahun tidak sama dengan 30 tahun, saya harap rakyat berilah mandat kepada kerajaan hari ini untuk melakukan sesuatu perubahan yang lebih besar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tiga tahun pentadbiran kerajaan negeri selepas mengadakan lawatan ke Madrasah Ad Dirasat Al Islamiah ,Bukit Kijang Kemasik dan Akademi Pendidikan Al Bahjah ,Kijal di sini semalam.

Katanya, antara manifesto yang telah dilaksanakan termasuk pengecualian cukai pintu, pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu dan lesen percuma untuk anak muda.

“Banyak lagi yang kita buat termasuk pemberian lot tanah rumah yang sedang berjalan kerana ianya perlu dilaksanakan secara berperingkat,” ujarnya.

Katanya, kerajaan telah menyalurkan bantuan rakyat yang begitu banyak tetapi di waktu yang sama terpaksa menanggung pembayaran projek yang disiapkan kerajaan sebelum ini yang berasaskan pembayaran secara berjadual untuk memastikan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, diharap rakyat dapat beri kepercayaan kepada kami untuk melunaskan janji-janji manifesto sebelum ini,” ujarnya.